Saturday, February 23, 2019

Salam Takziah Kepada Pilot Tanker


Assalamualaikum wbt...

Hanya ucapan takziah yang mampu diungkapkan kepada mangsa kemalangan lori tangki minyak, Suhaimi yang meninggal dunia di tempat kejadian kerana kebakaran yang teruk.



Berita penuh dari Harian Metro

PEMANDU lori tangki membawa muatan diesel rentung selepas kenderaan berat dipandunya dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh sebuah lori lain yang mengalami kerosakan dan berhenti di lorong kecemasan di Kilometer 372 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, dekat Slim River, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Muallim Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pada jam 9.05 pagi pihaknya dihubungi pegawai PLUS Slim River memberitahu berlaku kemalangan maut dan terbakar di tempat kejadian.


Menurutnya, hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan membabitkan tiga lori yang memandu dari arah selatan menuju ke utara.


“Sebuah lori membawa muatan besi berhenti di lorong kecemasan kerana brek angin mengalami masalah, manakala sebuah lagi dari syarikat sama dan membawa muatan sama turut berhenti membantu.

“Apabila selesai membantu, kedua-dua pemandu lori berkenaan masuk ke dalam kenderaan masing-masing untuk meneruskan perjalanan dan seorang daripada pemandu berkenaan melihat lori tangki terbabit yang bergerak dari laluan tengah terus ke lorong kecemasan.

“Lori tangki itu kemudian melanggar belakang lori kedua membuatkan lori berkenaan merempuh pula belakang lori pertama yang berhenti di lorong berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, akibat pelanggaran itu lori tangki yang dipercayai membawa muatan diesel itu terbakar dan merebak ke lori yang dirempuhnya.

“Lori yang berada di hadapan sekali tidak terbakar dan pemandu kedua-dua lori muatan besi itu terselamat serta tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Lori pertama dipandu Mohamad Jurid Bakar, 45, yang beralamat di Kampung Sena, Pekan, Pahang dan lori kedua dipandu Kamarul Azwar Abu Bakar, 34, beralamat di Batu 18 Kampung Pulau Maharaja Mukim Padang Perahu, Jitra, Kedah, manakala identiti pemandu lori tangki yang maut terbakar belum dikenal pasti,” katanya.

Wan Kamarul Azran berkata, susulan kejadian itu lalu-lintas sesak sepanjang lebih empat kilometer dan pihaknya kini sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kemalangan itu.

“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) PLUS akan dimohon bagi membantu siasatan dan polis sedang menyemak butiran mangsa melalui syarikat lori tangki yang beralamat di Jalan Subang Kampung Baru Sungai Buloh, Selangor.

“Kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu akan dibawa balik ke IPD Muallim untuk pemeriksaan oleh pihak Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM),” katanya.

No comments:

Post a Comment

Follow Me On Twitter

Total Pageviews