Saturday, February 23, 2019

Kematian di Johor Akibat Tidak Menerima Imunisasi

Assalamualaikum wbt...

Hati-hati bila tidak menerima Imunisasi sejak dari kecil... 
Bahaya tau... 
Kadang-kadang kita perlu dengar Pakar yang telah lama menyelidik hal berkaitan bidang mereka... Tak perlu jadi doktor 'instant'... 
Padah kesannya... 
Bukan sahaja membahayakan keluarga tersayang malah membahayakan orang sekeliling untuk berjangkit dengan anda/ anak anda juga... 

Ingatlah orang tersayang...



Sumber dari : From the Desk of the Director-General of Health Malaysia

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan kejadian satu (1) kes kematian disyaki akibat jangkitan difteria di daerah Johor Bahru pada 21 Februari 2019. Kes adalah seorang kanak-kanak lelaki berusia 2 tahun 1 bulan. Kes tidak pernah menerima sebarang imunisasi sejak lahir. Kanak-kanak tersebut mula mengalami demam, batuk dan bengkak tonsil pada 16 Februari 2019. Kes telah dibawa ke unit kecemasan hospital pada 18 Februari 2019 dalam keadaan yang lemah dan dimasukkan ke unit rawatan rapi pediatrik untuk bantuan pernafasan serta rawatan antitoksin difteria. Malangnya, kanak-kanak tersebut tidak dapat diselamatkan dan meninggal dunia pada 21 Februari 2019 dengan sebab kematian Severe Diphtheria with multiorgan failure. Ujian pengesanan ke atas sampel calitan tekak kes menunjukkan kehadiran bakteria Corynebacterium diphtheriae dan pihak kementerian kini menunggu keputusan makmal untuk pengesahan toksin difteria.

Penyakit difteria disebabkan oleh jangkitan bakteria Corynebacterium diphtheriae yang menyebabkan gejala sakit tekak dengan selaput di dalam tekak, bengkak tonsil dan kemungkinan berlaku komplikasi bacteremia (infeksi darah) dan endokarditis (infeksi pada jantung) sehingga menyebabkan kegagalan organ, yang seterusnya boleh membawa maut. Pemberian imunisasi difteria dapat mengelak daripada jangkitan atau jika terkena jangkitan, gejala adalah lebih ringan dan tiada komplikasi.



Sehubungan itu, ibu bapa yang masih belum memberikan imunisasi kepada anak-anak mereka dinasihatkan agar tampil untuk mendapatkan imunisasi mengikut jadual yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Bagi kanak – kanak yang telah tercicir suntikan, bolehlah segera mendapatkan perkhidmatan imunisasi di mana-mana fasiliti kesihatan yang terdekat.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
23 Februari 2019

No comments:

Post a Comment

Follow Me On Twitter

Total Pageviews