SUASANA hening dan sayu di Balairung Seri dan Dewan Santapan Istana Abu Bakar, Pekan selepas Sultan Pahang VI, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menitiskan air mata serta sebak ketika membaca titah sulungnya.
Al-Sultan Abdullah yang memakai baju berwarna kuning bersama isteri Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, kelihatan sebak beberapa minit dan menitiskan air mata ketika duduk bersemayam di singgahsana.
Baginda dilihat sebak ketika membacakan titahnya yang memohon rakyat mendoakan kesejahteraan Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah serta bondanya, Al-Marhumah Tengku Ampuan Afzan Rahimahallah Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad yang mendidik baginda dengan penuh kasih sayang.
Sebahagian daripada ahli kerabat diraja, tetamu kenamaan, ketua jabatan dan agensi kerajaan Persekutuan dan negeri yang memenuhi Balairung Seri dilihat turut tidak dapat mengawal perasaan sama ditunjukkan baginda.
“Maka yang demikian ketahuilah pada semua yang hadir seluruh rakyat Pahang dan semua orang supaya mengambil maklum dan menjunjung taat setia kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah,” katanya.
Pada masa sama, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, turut membacakan ucapan dan ikrar taat setia terhadap pemerintahan Al-Sultan Abdullah pada istiadat pemasyhuran itu.
Turut kelihatan hadir wakil kerajaan pusat, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali; Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, Orang Besar Berempat yang juga Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak serta penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin.
Al-Sultan Abdullah dan isteri kemudian berkenan mencemar duli pada majlis santapan di dewan santapan Istana Abu Bakar pada 12.50 tengah hari dan berangkat meninggalkan majlis santapan 40 minit kemudian.
Sebelum berangkat meninggalkan dewan santapan Al-Sultan Abdullah meluangkan masa bersalaman, beramah mesra dan berswafoto dengan tetamu yang hadir.
No comments:
Post a Comment