Monday, December 17, 2018

Jenazah Adib tiba di Kuala Kedah


KUALA KEDAH: Jenazah anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, selamat tiba di padang Sekolah Kebangsaan Kampung Tebengau, di sini, jam 10.35 pagi selepas diterbangkan menggunakan helikopter MI17-IV milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), jam 8.50 pagi tadi.


Perjalanan memakan masa dua jam selepas jenazah yang ditemani ibu bapanya dan tunangnya, Nur Hanani diterbangkan bersama keluarganya di Pangkalan Udara JBPM, Subang, Selangor jam 7.55 pagi tadi selepas menjalani bedah siasat di Hospital Kuala Lumpur.

Tinjauan mendapati hampir 1,000 penduduk sekitar memenuhi kawasan padang bagi melihat sendiri ketibaan jenazah yang dibawa secara istiadat kebombaan.

Jenazah yang diuruskan mengikut istiadat kebombaan di mana seramai 200 anggota dan pegawai berpakaian uniform lengkap bersongkok akan mengiringi jenazah sehingga ke rumah ibu bapanya di Kampung Tebengau Tepi Laut, di sini terlebih dahulu untuk penghormatan terakhir.


JENAZAH Allahyarham Muhammad Adib selamat tiba di Kediamannya di Kampung Tebengau. - NSTP/Sharul Hafiz Zam

Selepas penghormatan terakhir selesai, jenazah dijangka akan dikebumikan waktu Zuhur di Masjid As Saadah, di sini, yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah keluarga Allahyarham.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Mohammad Mentek; Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid serta Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh.

Muhammad Adib yang parah dipukul ketika insiden di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya 27 November lalu disahkan meninggal dunia pada jam 9.41 malam, di Institut Jantung Negara.

No comments:

Post a Comment

Follow Me On Twitter

Total Pageviews