Monday, December 17, 2018

Ada yang tak kena insiden menimpa Hafiz - Wazi



IPOH: Sebarang insiden yang meragukan hingga mengakibatkan kematian ketika perlumbaan motosikal perlu disiasat dan diteliti supaya ia tidak berulang. Legenda lumba motosikal negara, Wazi Abdul Hamid, berkata berdasarkan pengalamannya sebagai bekas pelumba negara, sebarang insiden yang berlaku dalam perlumbaan perlukan kajian menyeluruh.

“Berdasarkan pengalaman, saya rasa satu kajian menyeluruh boleh dilakukan bagi melihat bagaimana ia berlaku.





Legenda lumba motosikal negara, Wazi Abdul Hamid. - NSTP/Abdullah Yusof
“Kajian itu perlu membabitkan semua pihak dan bukan hanya sekadar penganjur tetapi semua pelumba bagi menanganinya supaya ia tidak lagi berlaku pada masa akan datang.
“Ia juga memerlukan pembabitan pakar dalam bidang berkenaan” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menziarahi jenazah pelumba cub prix, Hafiz Nor Azman, 22, di kediaman keluarganya di Kampung Kepayang, Simpang Pulai di sini hari ini.

Allahyarham Hafiz, meninggal dunia selepas terbabit kemalangan ketika pusingan terakhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2018 di Dataran Bandar Penawar, Johor kira-kira jam 4 petang semalam.
Wazi berkata, pihaknya turut merasakan ada beberapa perkara yang tidak kena berlaku dalam insiden itu dan perlu diberikan penjelasan.





ALLAHYARHAM Hafiz meninggal dunia selepas terbabit kemalangan ketika pusingan terakhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2018 di Dataran Bandar Penawar, Johor kira-kira jam 4 petang semalam. - Foto fail

“Kalau kita nak katakan perkara itu berlaku disebabkan kecuaian ia adalah sesuatu yang tidak adil, tetapi kita boleh memperhalusinya dengan mewujudkan satu jawatankuasa khas untuk teliti insiden yang berlaku.

“Ia bukan sekadar untuk melihat penganjur dan isu dalaman tetapi juga semua pihak termasuk yang yang diberi lesen dan pihak berkuasa.

“Insiden ini (kemalangan membabitkan kematian) sudah berlaku dua tahun berturut-turut dan saya dapati ada beberapa perkara yang tidak kena yang saya tak nampak dan saya tak boleh nak cakap lebih-lebih,” katanya.

Dalam pada itu, Wazi turut menyifatkan kematian Hafiz sebagai satu kehilangan besar dalam arena lumba motosikal negara.

“Hafiz adalah satu permata yang sangat bernilai dan saya sudah mengenalinya sejak dia kecil dan dia berkawan rapat dengan anak saya.

“Kita bukan hanya kehilangan bintang muda di peringkat nasional tetapi turut kehilangan seorang juara lumba motosikal yang mewakili Perak dan Lembah Kinta yang banyak membantu menaikkan sukan ini,” katanya.

Ehsan : BH

No comments:

Post a Comment

Follow Me On Twitter

Total Pageviews